VIDEO: Honda HR-V 2022 di Malaysia — dari RM115k!

Honda HR-V 2022 sudah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Dan, Malaysia juga merupakan satu-satunya pasaran di dunia yang menerima penawaran tiga pilihan bagi sistem janaan kuasa HR-V 2022 ini, dan semua sekali ada empat varian yang ditawarkan.

Varian paling asas S menerima enjin 1.5L bensin yang sama digunakan untuk model City. Ia unit NA DOHC i-VTEC empat-silinder yang menghasilkan 121 PS dan torsi 145 Nm pada 4.300 rpm. Varian E dan V pula menggunakan enjin 1.5L VTEC Turbo dengan tenaga 181 PS dan torsi 240 Nm antara 1.700 hingga 4.500 rpm. Ini 1 PS kurang dari Civic FE, dan kedua dua model NA dan Turbo ini digandingkan dengan CVT.

Varian RS pula untuk sistem janaan hibri e:HEV. Motor elektrik i-MMD yang menjadi nadi utama kini 22 PS lebih berbanding dengan City, dengan 131 PS. Tork maksimum adalah 253 Nm. Enjin NA dengan kitaran Atkinson ini, yang bertindak sebagai generator dan boleh memacu kereta ini dalam kelajuan tinggi, menghasilkan 107 PS dan 131 Nm. Angka ini 9 PS/4 Nm lebih tinggi berbanding City.

HR-V baru ini tampak lebih besar berbanding yang lama. Dengan panjang 4.385 mm (varian S tanpa bampar sporty yaitu 4.330 mm panjang), HR-V baru ini hanya 39 mm lebih panjang dari RS sebelum ini. Lebar 1.790 mm dan jarak antara roda 2.610 mm pula tidak berubah. Mungkin jarak kelegaan tanahnya — 196 mm, 26 mm lebih tinggi — yang memberikan kesan.

Dengan ini, pasaran segmen B di sini baru saja menerima pesaing terikini, yang akan memberi cabaran kepada model-model seperti Proton X50 dan Toyota Corolla Cross di Malaysia. HR-V ini cukup “power” nak lawan? Kami tinjau dalam video ini.

Honda HR-V Turbo E 2022