Toyota Vios 2023 D92A dilihat diuji di Thailand – dilancarkan Ogos ini, bakal terima varian hibrid

Sebelum ini telah dilaporkan bahawa model generasi baharu untuk Toyota Vios bakal didedahkan di Thailand pada suku ketiga tahun ini. Dan ini dia, sedan segment-B sudahpun dilihat telah diuji dengan penyamaran yang lebih mirip rupa sebenarnya, berbanding penyamaran yang seolah-olah ‘dibalut dengan plastik sampah’ sebelum ini.

Imej intipan ini diambil oleh laman Autolifethailand, yang menyatakan bahawa ini adalah model serba baharu untuk Toyota Yaris dan Yaris Ativ (nama Vios di Thailand) dan ia dijangka bakal dilancarkan di Thailand pada Ogos 2022 – selari dengan apa yang dilaporkan sebelum ini. Ia masih mengenakan nombor pendaftaran TC 2050 sama seperti unit prototaip yang dilihat sebelum ini.

Menurut laman tersebut lagi, Vios baharu ini bakal tampil dengan dua pilihan rangkaian kuasa; pertama masih kekal sama seperti Yaris Ativ sebelum ini iaitu enjin petrol 1.2 liter NA empat-silinder sebagai kereta Eco Thai yang mendapat insentif khas; kedua adalah 1.5 liter Hybrid.

Unit penjana hibrid tersebut dipilih sesuai dengan insentif kenderaan dengan teknologi elektrifikasi yang diberikan oleh kerajaan Thailand buat masa sekarang. Sebab itulah juga mengapa Honda HR-V dan juga Toyota C-HR hanya ditawarkan dalam versi hibrid di sana.

Unit kuasa 1.5L hybrid tersebut mungkin adalah unit yang sama digunakan pada model Toyota Aqua pasaran Jepun/Toyota Prius c. Pada model tersebut, sistem hibrid itu menggandingkn enjin 1.5L Dynamic Force tiga-silinder kitaran Atkinson berkuasa 91 PS/120 Nm bersama dua motor elektrik dan set gear planetary.

Motor elektrik paling besar dalam sistem tidak mampu menghasilkan kuasa 80 PS/141 Nm. Sistem yang sama turut digunakan pada Toyota Yaris dan Yaris Cross pasaran Eropah. Untuk model pasaran lain, Vios dijangka akan kekal dijana oleh enjin petrol penuh 1.5L empat-silinder NA.

Model generasi baharu ini diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), iaitu platform yang sama menjadi asas untuk kembar SUV Perodua Ativa/Toyota Raize/Daihatsu Rocky dan MPV Toyota Avanza/Veloz serta Daihatsu Xenia generasi baharu. Sebab itulah kod projek D92A bagi sedan ini agak mirip dengan projek kod-kod dari Perodua sebelum ini.

Bagi rekaan, bentuk sedan ini dijangka akan diinspirasikan dari model konsep Daihatsu DN F-Sedan yang didedahkan pada
Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017. Berdasarkan prototaip unit imej tersebut, model produksi benar ini nanti akan digunakan rekaan garis bumbung, tingkap sisi dan juga garis bahu seolah-olah konsep tentang konsep.

GALERI: Daihatsu DN F-Sedan Concept di GIIAS 2017