Penghulu segala keluaran Toyota yang memulakan barisan kenderaan GR sebelum ini, Supra tampil sebagai model tahun 2023 dengan penawaran baru selepas mula diperkenalkan pada 2019. Coupe sport GR Supra akhirnya hadir dengan transmisi manual, membawa disertakan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan, seperti diingin oleh peminatnya sejak pengenalan empat tahun lalu itu. Ia dijual pada harga RM645,000 bagi model manual, dan RM655,000 bagi varian automatik, harga atas jalan dan tidak termasuk asuransi.
Kotak gear manual dengan enam-kelajuan yang melengkapi GR Supra 2023 dibangunkan khusus untuknya, melengkapi lagi karekter pemanduan seida ada yang diteraju oleh enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo gulir ganda. Dalam jelmaan terkininya, enjin 24-injap DOHC ini menghasilkan sebanyak 388 PS antara 5.800-6.500 rpm dan tork 500 Nm dari 1.800-5.000 rpm yang dihantar ke roda belakang — sebuah tetapan pemanduan sport yang didambakan ramai peminatnya.
Transmisi manual 6-kelajuan pintar ini mampu memadankan kelajuan enjin ketika penukaran gear untuk memberikan peralihan yang lebih lancar dan rasa pemanduan sporty. Dengan laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, pecutan 0-100 km/j versi manual ini memberikan bacaan 4.4 saat, sedikit lambat berbanding 4.1 saat untuk transmisi automatik sebelum ini.
Selain memberi pilihan tambahan pada versi lapan-kelajuan automatik, jurutera GR Supra manual ini turut memperhaluskan lagi karekter stereng dan suspensinya dengan menambah baik bushing bagi tiang penstabil serta melakukan talaan semula suspensi bisa ubah adaptifnya. Sistem kawalan casis juga telah dilaraskan semula untuk memberikan prestasi kendalian dan keselesaan yang lebih baik.
Selain mempunyai agihan berat dalam nisbah 50:50, dinamik pemanduan yang cemerlang GR Supra diperkayakan lagi dengan suspensi pembolehubah adaptif dan slip-diferensial kawalan elektronik. Pemandu bagaimanapun masih dapat memilih tetapan sendiri untuk melanjutkan kemampuan prestasi serta meminimalkan bantuan bantuan elektronik kereta ini. Pelek aloi diperkukuh 19-inci standar, dengan tayar 255/35 di depan dan 275/35 di belakang.
Sebagai sebuah kereta olahraga, ruang dalamannya direka untuk memberi tumpuan lebih kepada pemandu. Antara perincian yang diberikan termasuklah kerusi balutan kulit, head-up display, kerusi sport larasan elektrik, cermin pandang belakang elektrokromatik dan sistem audio JBL dengan 12-pembesar suara.
Dengan prestasi yang mengkagumkan GR Supra, kelengkapan keselamatannya juga perlulah selari. Teknologi yang melengkapi model ini termasuk sistem keselamatan aktif yang akan membantu pemanduan bila diperlukan. Kawalan melayar juga ada untuk varian manual, manakala versi otomatis ada penambahan kemampuan adaptif untuk ciri yang bersangkutan.
Turut ada adalah ciri-ciri lain seperti sistem pemantau tekanan tayar, sensor parkir cerdas dengan fungsi brek kecemasan dan peninjau titik buta dengan ambang lintasan lalu lintas di belakang. Pilihan warna badan yang tersedia ada lapan — Prominence Red, Lighting Yellow, White Metallic, Black Metallic, Dawn Blue Metallic, Volcanic Ash Grey Metallic, Matte Avalanche White Metallic dan Matte Storm Grey Metallic.