Operasi LRT, MRT untuk stesen yang terlibat dilanjutkan sempena Kelayakan Piala Asia 2023 Malaysia besok

Rapid Rail Sdn Bhd telah mengumumkan sistem perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang/Sri Petaling akan dilanjutkan sempena perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 Malaysia Bahrain di Stadion Nasional Bukit Jalil, yang akan berlangsung besok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tren terakhir menuju ke Sentul Timur akan berlepas pada 12.03 tengah malam manakala ke Putra Heights pada 12.44 tengah malam. Malahan tren tambahan juga akan disediakan bagi penumpang selepas tamat perlawanan.

Tambahnya lagi, penumpang kemudian boleh melanjutkan perjalanan ke LRT laluan Kelana Jaya di Stesen Masjid Jamek dan ke Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang di Stesen Plaza Rakyat.