APRC Danau Toba Rally 2022 baru sahaja dimulai hari ini, namun malang untuk pelumba negara Karamjit Singh dan juruarahnya Jagdev Singh, perjuangan mereka sudah pun tamat seawal SS2 kerana menghadapi masalah mekanik yang berlaku pada Proton Gen2 2.0L 4WD yang digunakan.
“Kempen kami di Malang Rally Danau Toba telah berakhir, kami terlalu memaksakan kereta ini. Tetapi, kami masih gembira dengan catatan masa yang telah dibuat,” kata Karamjit Singh terus menerusi hantaran di laman facebook beliau.
Pada SS1, Karamjit Singh berjaya mencatatkan masa keempat terpantas secara keseluruhan, dengan Sean Galael yang memandu Citroen R5 pasukan Jagonya Ayam berada di tempat pertama, diikuti Rifat Sungkar (Mitsubishi Xpander AP4 pasukan Xpander Rally Team) dan Ryan Nirwan (Toyota GR Yaris AP4 pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia).
Masa yang dicatatkan oleh Karamjit berkenaan dengan jelas lebih pantas dari beberapa pemandu lain yang mengemudi lebih dari jentera yang jauh lebih modern dengan spesifikasi terkini R5, AP4 dan ProtoCars yang dikelaskan dalam kategori M1. Sedangkan Proton Gen2 yang dipandu oleh Karamjit bukan sahaja sudah berusia 15 tahun, malahan ia masuk dalam kategori M3 iaitu jentera 4WD 2.0L Turbo yang tidak menerima homologasi FIA.
Proton Gen2 tersebut sebelum digunakan oleh Felda Rally Team yang kemunculannya pada tahun 2007. Ia menggunakan enjin 2.0L Turbo 4G63T dan juga sistem pacuan semua roda yang diambil dari Mitsubishi Lancer Evolution VI. Sedangkan jentera-jentera dengan spesifikasi R5 dan AP4 rata-rata memiliki tenaga sekitar 350 hp dan torsi melebihi 500 Nm, bersama kotak gear dan sistem 4WD serta kerangka yang jauh lebih modern.
Sebelum ini Karamjit Singh pernah mendedahkan rancangannya untuk kembali ke semula Kejohanan Rali Asia Pacific (APRC) dengan Proton Iriz R5, namun kini jentera masih ada lagi yang belum diperoleh. Semoga tahap kompetitif yang ditunjukkan di Danau Toba Rally 2022 ini membuka mata pelbagai pihak untuk membantu Karamjit Singh kembali memberi cabaran di peringkat antarabangsa!