Yamaha XForce 2022 didedah di Jepun – enjin 155 cc VVA, datang dengan sistem ABS dan kontrol traksi

Yamaha memperkenalkan sebuah skuter baru untuk pasaran Jepun, iaitu XForce 2022. Ini adalah sebuah skuter yang menggunakan enjin satu silinder SOHC VVA 155 cc sama seperti NMax 155 dan NVX 155, tetapi dengan bentuk badan yang berbeza. Ia juga ada dipasarkan di Taiwan.

Bentuknya tampak lebih agresif dengan rekaan bahagia di hadapan seperti XMax 250, dan dilengkapi dengan lampu utama serta jenis LED di belakang. Pemegangnya pula dijadikan lebih tinggi, untuk menghasilkan kedudukan menunggang yang tegak dan selasa.

Memegang skuter ini atas jalan adalah garpu teleskopik di hadapan, dan dua penyerap hentak di belakang, sementara rim pula kedua-duanya menggunakan saiz 13 inci dengan saiz tayar masing-masing 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.

Brek cakera diberikan pada kedua-dua roda hadapan dan belakang, dan ia turut dilengkapi dengan sistem ABS dua saluran. Menjadikannya lebih selamat, Yamaha turut memasang sistem kawalan cengkaman pada skuter ini. Di bawah tempat duduk, tersedia ruang simpanan 23.2 liter.

Panel meter digital LCD pada XForce 155 memiliki bentuk petak yang ringkas, tetapi ia boleh disambungkan kepada telefon bimbit melalui aplikasi Yamaha Motorcycle Connect untuk membolehkan paparan informasi tambahan seperti penggunaan bahan api, kedudukan terakhir, waktu menukar minyak enjin dan data tunggangan lain.

Masih lagi menggunakan kunci biasa untuk dihidupkan (bukan sistem tanpa kunci), XForce turut menyediakan soket pengecas USB berhampiran soket kunci. Papan lantai skuter ini juga berbentuk rata, dengan tangki bahan apinya berkapasiti 6.1 liter dan tempat mengisinya berada tinggi, di bawah dibanding pemegang. Di Jepun, XForce 155 dijual sedikit murah berbanding NMax 155, iaitu pada harga 396.000 yen (RM13.050).