PDRM laksana Op Lancar 8-11 Julai sempena Aidiladha – guna dron kesan kesalahan trafik

Demi memastikan aliran trafik lancar sepanjang acara Aidiladha 2022, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Op Lancar selama empat hari awal hari ini, 8 Julai, hingga Isnin hadapan (11 Julai).

Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, Op Lancar ini dilaksanakan ekoran pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali ke ibu kota kerana sambutan Aidiladha.

“PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sudah mengenalpasti kawasan-kawasan ‘panas’ yang dijangka sesak. Sasaran polis memastikan aliran trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta bandaran bergerak lancar dan terkawal.

“Selain itu rondaan cegah kemalangan dan ‘omnipresent’ di lokasi turut berjalan termasuk pemantauan melalui dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi mengesan kesalahan menggunakan lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyarankan pengguna jalan raya merancang perjalanan dan peka dengan maklumat aliran trafik semasa.

“Laksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak garis depan, menyalahgunakan lorong atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang jalan,” katanya.

Tambah beliau, melalui Op Lancar kali ini, PDRM komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan orang sepanjang perjalanan dijamin bagi merayakan Aidiladha dalam suasana kekeluargaan yang sejahtera.