Lagi penunggang motosikal tendang cermin sisi kereta

Nampaknya bukan setakat insiden sepak cermin sisi Porsche 911 sahaja yang dimuat hari ini di laman Facebook DashCam Owners Malaysia, tetapi ada juga satu kejadian lagi hampir sama. Kali ini yang menjadi mangsa adalah sebuah Kia Cerato.

Video yang bertarikh semalam (5 September 2022) itu menunjukkan Cerato putih yang berada di lorong tengah dalam kesesakan trafik tersebut bergerak perlahan dengan kedudukannya rapat ke sebelah kanan, tetapi masih dalam lorong. Tiada lampu penunjuk arah yang menyala.

Secara tiba-tiba muncul seorang penunggang motosikal yang bukan setakat memecut laju, tetapi juga mengeluarkan kaki kiri dan menyepak tepat ke cermin sisi kereta tersebut. Terdapat serpihan yang bersepai di atas jalan dan kami merasakan cermin itu bukan setakat terlipat ke belakang, sebaliknya pecah dan tercabut terus.

Tindakan ini dirasakan tidak wajar dan jika pun penunggangan tersebut merasa terancam, sepatutnya beliau boleh memperlahankan motosikal dan membunyikan hon tanda amaran. Menyebabkan kerosakan pada kenderaan lain juga merupakan satu kesalahan.

Sekali lagi ingin kami ingatkan, mencelah di antara kenderaan, atau dipanggil sebagai penyaringan jalur bagi motosikal memang tidak dibenarkan, ia tidak bermakna ruang sempit itu adalah hak mutlak penunggang sehinggakan kenderaan lain tidak boleh menukar lorong (meskipun secara selamat) dan mereka boleh memecut laju di laluan itu. Sama-samalah kita bertimbang rasa antara pengguna jalan raya.